School Based Project

Download dokumen

School Based Project Kumpulan Husnul, Isyamzazril & Rosnani





Guna Sejarah Ajar Matematik

Wednesday, February 11, 2009

Oleh KHAIRUSY SYAKIRIN HAS-YUN HASHIM

PERNAH mempelajari Matematik? Tentu, dan pada sesetengah daripada kita mendapati Matematik adalah subjek yang membosan dan merunsingkan. Apatah lagi kepada para pelajar yang mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan.

Namun begitu, tanpa Matematik agak sukar pula bagi remaja kita untuk meloloskan diri ke menara gading. Akibatnya, belajar matematik membebankan tetapi perlu pula sekurang-kurangnya lulus di dalam peperiksaan untuk ke hadapan.

Umum mengetahui kepentingan Matematik kepada seseorang. Malah kepentingan Matematik yang telah berakar umbi dalam tamadun manusia. Tetapi, usaha seorang Profesor Matematik kelahiran Rio de Janeiro telah mengubah persepsi orang ramai terhadap Matematik. Beliau telah memperkenalkan satu sistem pendidikan baru di dalam menerangkan konsep-konsep dalam Matematik, iaitu dengan menggunakan pendekatan sejarah melalui hikayat yang amat menarik. Maka lahirlah salah-satu karyanya yang hebat bertajuk The Man Who Counted. Yang lebih menarik, penulisnya sendiri yang melahirkan pengarang buku tersebut yang lebih terkenal daripada namanya sendiri, yang dikenali sebagai Malba Tahan. Beliau tidak menggunakan nama sebenarnya, iaitu Julio Cesar de Mello, seorang Profesor Matematik di Rio de Janeiro Education Institute, sebaliknya nama Malba Tahan lebih menonjol.

PEMERINTAHAN
Hikayat ini berkisar pada zaman kegemilangan Islam iaitu pada zaman pemerintahan khalifah Islam. Yang menariknya, si penulis, Julio Cesar, tidak pernah melangkah kakinya ke negara-negara Arab. Namun begitu, hasil daripada tulisannya itu, umum akan mengetahui betapa dalam cintanya kepada ilmu dan peradaban Islam zaman silam.

Jalan ceritanya yang bermula dengan pengembaraan Beremiz Samir, yang telah menggunakan kepandaiannya di dalam menyelesaikan masalah dengan menggunakan matematik. Sepanjang perjalanan beliau bersama seorang sahabat, Hanak Tade Maia, telah menyelesaikan beberapa masalah yang menimpa penduduk setempat. Misalnya, masalah perebutan unta sebanyak 35 ekor yang perlu dibahagikan kepada 3 orang adik-beradik yang mengikut wasiat ayahnya, separuh daripada unta itu perlu diberikan kepada abang yang sulung, 1/3 kepada adik keduanya dan 1/9 diberikan kepada yang bongsu.

Jika diikutkan logik fikir, ia langsung tidak dapat dibahagikan secara adil. Jika separuh daripada 35 ekor ialah 17 ½, maka apatah lagi jika dibahagikan kepada 1/3 dan 1/9 yang mustahil untuk didapatkan nombor yang tunggal. Maka di sinilah kebijaksanaan penulisnya. Si hero, Beremiz telah menambah seekor lagi unta, iaitu tunggangannya, menjadikan jumlah 36 ekor.

HABUAN

Dan dari jumlah 36 ekor itu, ½ daripadanya diberikan kepada yang sulung iaitu sejumlah 18 ekor. Yang keduanya, 1/3 daripada 36 ekor, 12 ekor unta diberikan kepadanya, dan si bongsu mendapat habuannya 1/9 daripada 36, iaitu 4 ekor. Apabila ditambahkan semua jumlah itu (18 + 12 + 4) menjadikan ia sejumlah 34 ekor unta. Terlebih 2 ekor unta! Dan si Beremiz mendapat habuan seekor lagi unta tunggangannya.

Di sinilah letaknya kehebatan penulis yang menyelesaikan masalah Matematik dengan logik ‘benar’, dan bukan sekadar ‘logik Matematik’. Buku ini menarik untuk dibaca sebagai salah satu kaedah menyelesaikan masalah masyarakat, yang rata-ratanya berkisar kepada masalah wang, kepuasan hidup, keadilan dan sebagainya.

Tidak mustahil kepada seseorang ahli Matematik yang melihat situasi ini sebagai satu cabaran bagi beliau untuk cuba menyelesaikan permasalahan itu dengan ‘logik benar’ Matematik. Matematik telah lama terbukti sebagai salah-satu penyelesai masalah manusia. Komputer sendiri adalah hasil daripada keajaiban Matematik itu. Cuma, masyarakat kita kurang ‘menggemari’ Matematik, mungkin disebabkan oleh kaedah pengajaran yang kaku dan membosankan. Matematik perlu diajar dan dibaca sepertimana seseorang gemar membaca novel cinta.

Julio Cesar telah membuktikan bahawa kaedahnya adalah antara yang terbaik dan terbukti kepada tiga generasi selepasnya, bahawa Matematik juga adalah satu seni dan perlu dibaca!
* KHAIRUSY SYAKIRIN HAS-YUN HASHIM ialah pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm